Monday, May 18, 2009

Semangat merdeka pererat perpaduan

Oleh Ilias Zaidi

KEMERDEKAAN negara terbentuk hasil perpaduan menyeluruh pada peringkat pemimpin hingga ke akar umbi. Perpaduan pula berkait rapat dengan semangat cintakan negara dan bangsa daripada terus dibelenggu rantai penjajah, yang lebih umum diistilahkan sebagai nasionalisme dan patriotisme.


Barisan pucuk pimpinan negara sudah memberi saham tidak ternilai besarnya ke arah pewujudan integrasi nasional, yang dirintis menerusi tulisan berkala oleh golongan reformis dan ulama. Dari segi praktiknya, gelaran bapa perpaduan memang wajar dianugerahkan kepada Datuk Onn Jaafar, diteruskan oleh anaknya, Tun Hussein Onn, ketika menjadi Perdana Menteri menurut konsep dan persepsi yang lebih luas merangkumi tahap nasional.

Siapakah yang dapat melupai kata-kata hikmat Datuk Onn ketika beliau berucap merasmikan Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1946.

“Marilah kita tunjukkan bahawa dengan perpaduan antara kita, maka kita berkehendak melahirkan satu bangsa yang lebih tegap dan teguh, boleh berdiri atas kaki sendiri dan mengambil tempat sebenar di sisi bangsa lain yang tegap dan bersatu”.

Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, orang Melayu cukup bersatu padu menerusi Kongres itu, dan natijahnya lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), pada 11 Mei 1946, hasil pandangan alam dan cetusan idea Datuk Onn jauh mengunjur mendahului zamannya, rahmat di sebalik gagasan Malayan Union.

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, yang mengambil alih teraju pimpinan memperluas dimensi perpaduan Melayu kepada integrasi Umno-MCA menerusi Perikatan terhasil daripada pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur pada 1952, diperluas kepada penyertaan MIC setahun kemudian.

Idea bernas ini menunjukkan kejayaan gemilang pada pilihan raya pertama Persekutuan pada 1955 apabila parti gabungan Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, menyaksikan kemenangan tunggal Pas merebut kerusi Gunung Semanggol.

Tahap ini, Pergerakan Pemuda Umno pimpinan Tun Sardon Jubir, memainkan peranan kumpulan pendesak kepada parti induk, berhasil mempercepat kemerdekaan dua tahun, kepada Ogos 1957, bulan keramat, iaitu pelepasan negara lain daripada belenggu penjajah.

Sebagai pelengkap kepada perpaduan zaman Tunku, maka dipersetujui sebagai ‘adik’ kepada dua negara Asia yang sudah merdeka tadi, tarikh kemerdekaan negara jatuh pada 31 Ogos.

Konsep integrasi negara disepadukan penyertaan Sabah dan Sarawak menerusi Malaysia pada 16 September 1963, satu lagi saham besar dilaburkan Tunku. Bulan kemerdekaan 16 Ogos – 16 September berpaksikan kepada dua tarikh keramat ini.

Perpaduan nasional perlu ditunjangi nasionalisme yang luas menyeluruh. Tanpa persepsi begini, perpaduan menjadi hancur dan pembangunan fizikal beransur-ansur lebur. Tun Abdul Razak Hussein melihat kemungkinan ini lalu mencetuskan idea yang menjadi realiti menerusi pembentukan Barisan Nasional (BN) menggabungkan parti politik bagi mengelakkan fahaman kepartian yang sempit.

Penghapusan sikap berpolitik yang keterlaluan menuntut tindakan drastik aspek lain khususnya ekonomi, melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971 dan pendemokrasian pelajaran menerusi penyampaian subjek dalam bahasa kebangsaan, bahasa yang disepakati sebagai bahasa kebangsaan ke arah penyatuan murid pelbagai kaum menerusi Penyata Razak 1956.

Objektif terakhir kedua-dua mekanisme ini hendak memupuk keharmonian dan perpaduan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Demikian lahirnya Rukun Negara, saluran berkesan dan relevan sehingga kini untuk pemupukan semangat nasionalisme dan patriotik Malaysia.

Seawalnya semangat kecintaan mendalam terhadap negara dan bangsa yang dikaitkan dengan nasionalisme berputik sejak permulaan abad lampau menerusi tulisan dan kritikan tersohor dalam majalah Al-Imam (1906), menyerlahkan semangat patriotisme awal berteraskan ajaran Islam. Yang tertonjol memberikan saham bermakna di sini ialah tokoh pemikir Islam, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi.

Malah, al-Hadi mengambil kesempatan daripada kreativitinya mengangkat watak Syafik Afandi dalam novel Hikayat Faridah Hanum (1926). Beliau mahu manusia bersatu padu dan berusaha gigih ‘bagi menjadikan kaum dan bangsa kita ahli bagi mengeluarkan segala barang-barang yang mesti bagi kehidupan kita dan memelihara akan watan tanah air kita daripada serba-serbi huru-hara yang menghilangkan amannya’.

Saranan dan wawasan ini jelas memperlihat pandangan jauh ke depan al-Hadi ke arah memajukan umat Islam setanding dengan negara maju, jawapan konkrit kepada kritikan sosial Abdullah Abdul Kadir Munsyi dalam Kisah Pelayaran Abdullah (1915) . “Dalam negeri Melayu, terlalu banyak orang lalai dan malas sepanjang hari dan malam, dengan tiada bekerja sesuatu. (117)

Awal abad lampau, al-Hadi semacam sudah melihat kemampuan bangsanya dapat menyaingi keupayaan bangsa maju di dunia ketika itu seperti Britain, Perancis dan Jepun untuk memasarkan produk di pasaran bebas antarabangsa. Ke arah objektif ini, ulama dan cerdik pandai yang segelintir jumlahnya waktu itu haruslah berfikiran progresif dan terbuka membimbing umat ke arah kemajuan, menguburkan amalan syirik, bidaah dan khurafat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula merealisasikan Dasar Pandang ke Timur dengan melihat Jepun dan Korea Selatan sebagai model rakyat untuk bekerja keras bagi merealisasikan Malaysia maju menerusi Wawasan 2020, yang diperluas Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Misi 2057.

Abdullah mahu melihat negara dan rakyat dapat mencapai tahap kelas pertama dalam pelbagai bidang mampu bersaing dan menyahut cabaran global 50 tahun dari sekarang. Terasnya pasti pengetahuan menerusi pendidikan yang wajar direbut semua rakyat dengan kerja keras dan semangat juang yang terbilang bagi menuntut ilmu.

Mekanisme sudah ada sejak 1986 apabila Kementerian Pelajaran melaksanakan Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan atau singkatnya RIMUP. Objektif program hendak melahirkan generasi berilmu, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibah dan mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu.

Perpaduan perlu dilihat secara bersepadu dan meluas. Konsep Islam Hadhari menjurus ke arah ini. Tidak ada salahnya kita berlainan pendapat dan persepsi terhadap sesuatu perkara berkat keramat kepelbagaian disiplin ilmu yang dituntut sesuai peredaran zaman. Kelainan pendapat itu sendiri dapat memperkukuh perpaduan sesama umat sehingga menyerlahkan integrasi nasional lebih mantap.

Hati manusia perlu disatukan seperti pertautan penduduk Sabah dan Sarawak dengan bumi Semenanjung biarpun terpaksa merentasi keluasan dan kedalaman Laut China Selatan menerusi pembersihan titik hitam yang mempengaruhi setiap gerak dan tindakan rakyat.

Mekanisme sedia ada baik politik, ekonomi, pendidikan, kesenian dan budaya, bahasa kebangsaan, mahupun komunikasi, sosial dan sebagainya perlu dianyam dengan perisian lebih terperinci menghampari alam realiti yang menyentuhi hati dan jiwa rakyat untuk hidup bersama secara aman damai demi kesejahteraan dan keselesaan hidup menerusi program pembangunan yang dinikmati secara kolektif.







BH 26 JULAI 2007

No comments:

Post a Comment